Choo Kinang berkata, semua ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dinasihat supaya tidak menggunakan kesempatan ini untuk menanya soalan yang tidak mempunyai kaitan dengan Pulau Pinang khususnya kepada Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Pantai Jerejak).

"Saya ingin mengingatkan semua ADUN-ADUN supaya tidak membangkitkan perkara-perkara yang di luar negeri ini pada persidangan kali ini.

"Semua ADUN harus membincangkan hal-hal yang berlaku di Pulau Pinang walaupun dengan kehadiran menteri-menteri dalam DUN," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Pulau Pinang ke-14 di sini hari ini.

Teguran Choo Kiang turut disokong oleh Nor Hafizah Othman (BN-Permatang Berangan) yang minta Lim dan Saifuddin supaya tidak melayan soalan-soalan yang di luar daripada Pulau Pinang.

"Saya ingin meminta Air Putih dan Pantai Jerejak supaya tidak terikut-ikut dengan soalan yang tidak ada kena-mengena dengan Pulau Pinang atau tidak melibatkan rakyat negeri ini," katanya.

Hari pertama Persidangan DUN Pulau Pinang hari ini dihadiri oleh dua menteri iaitu Lim sebagai Menteri Kewangan dan Saifuddin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. - Bernama