Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, peruntukan itu merupakan polisi kerajaan negeri dan pengagihan itu adalah untuk memastikan mereka dapat melaksanakan program rakyat kepada penduduk setempat. 

"Sebelum ini, kita adalah negeri pertama yang memberikan peruntukan itu yang saya rasa paling tinggi, sejumlah RM200,000 (setahun). 

"Kita akan beri sekiranya mereka mahu menerima peruntukan itu kerana ia adalah polisi kita dan saya harap selepas peruntukan ini diberi mereka dapat guna sepertimana yang ditetapkan," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. 

 Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail yang juga ADUN Sungai Air Tawar daripada BN yang memutuskan untuk menerima semula peruntukan yang diberikan kepada setiap ADUN di Selangor yang berjumlah RM200, 000 setahun.

 Pada November 2014, 12 ADUN BN Selangor menolak peruntukan RM200,000 setahun yang diberi oleh kerajaan negeri dalam Belanjawan 2015 yang dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika itu.

Penolakan itu dibuat kerana menganggap kerajaan negeri tidak adil kerana ADUN Pakatan Rakyat menerima peruntukan berjumlah RM700,000 setahun. - K! ONLINE