Mohamed Haffiez Mansor Taridi, 34, berkata, Qaireen Adriana disahkan mengalami jantung tersumbat serta injap bocor sejak dilahirkan dan kini memerlukan dana kira-kira RM35,000 bagi menjalani prosedur pembedahan keempat pada 11 Disember ini.

"Anak saya sudah melalui tiga pembe­dahan termasuk kali pertama semasa dia berusia 15 hari di Institut Jantung Negara (IJN). Selain itu, dia juga perlu hadir pemeriksaan bulanan di IJN yang memerlukan belanja RM800 termasuk kos perjalanan.

"Dia perlu menjalani pembedahan keempat pada 11 Disember ini untuk membaiki serta membuka injap dan salur jantung yang memerlukan kos lebih tinggi," katanya yang bekerja di pusat peranginan dekat Bukit Tinggi di sini.

Tambah Mohamed Haffiez lagi, anaknya yang akan memasuki darjah dua pada tahun depan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Tinggi itu sering mengalami demam serta kesukaran bernafas disebabkan masalah jantung yang dialaminya ketika ini.

Ujarnya lagi, isterinya, Fazleen Noor Adnan, 30, juga terpaksa berhenti kerja sejak lima tahun lalu untuk memberi perhatian terhadap Qaireen Adriana serta menjaga dua lagi anak mereka yang berusia lima dan dua tahun.

"Gaji saya cuma RM1,500 sebulan dan sukar biayai kos pembedahan. Wang simpanan juga telah habis digunakan untuk menampung kos pembedahan sebelum ini yang mencecah RM100,000," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulur sumbangan bo­leh menghubungi 019-6060168 atau menyalurkannya melalui nombor akaun Maybank 106062140735 atas nama bersama Moha­med Haffiez Mansor Taridi dan Qaireen Adriana Tihani. - K! ONLINE