Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pergaduhan tersebut pada pukul 11.40 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

"Tiba di lokasi, mangsa berada dalam keadaan separa sedar dan terbaring di lantai kaki lima kedai.

"Selang beberapa ketika, mangsa didapati kaku dan tidak bergerak lagi. Pegawai Perubatan yang hadir mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala disebabkan tetakan atau tikaman senjata tajam," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Muhammad Hanif, suspek berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu telah ditahan dan dia turut mengalami kecederaan akibat dari pergaduhan tersebut.

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 Ogos depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Mayat mangsa pula kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat," katanya.

Katanya, ibu mangsa memaklumkan punca pergaduhan berlaku apabila suspek bertengkar dengannya mengenai bil elektrik kedai makan yang tertunggak.

"Bagaimanapun, mangsa yang terdengar percakapan kasar suspek terhadap ibu mereka itu terus datang dan memukul suspek yang sedang mengemas dapur kedai makan dengan senjata tajam.

"Selepas berlaku pergelutan dengan suspek, mangsa kemudian telah melarikan diri sebelum dia dijumpai terbaring dalam keadaan kepala berlumuran darah," katanya.

Katanya lagi, ketika meleraikan pergaduhan tersebut, ibu mangsa juga mengalami kecederaan dan menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran. - K! ONLINE