Mayat mangsa, S. Sritharan, 16, ditemui dalam keadaan dibalut plastik oleh bapanya sendiri pada pukul 12.18 tengah hari sebelum memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, laporan kehilangan mangsa sebelum ini telah dibuat kakaknya semalam selepas dia tidak pulang ke rumah dari sekolah Jumaat lalu.

“Mangsa merupakan pelajar tingkatan empat itu pergi ke sekolah pada pukul 7.30 pagi Jumaat lalu namun dia tidak pulang ke rumah sehingga pukul 11 malamnya.

“Laporan kehilangan mangsa telah dibuat semalam dan polis menerima maklumat mengenai penemuan mayatnya dengan kesan kelar di leher dan dua pergelangan tangannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Osman, siasatan awal yang dilakukan pihaknya membawa kepada penangkapan adik perempuan mangsa yang berusia 14 tahun dan teman lelakinya berumur 15 tahun.

“Kedua-dua remaja tersebut telah mengaku membunuh mangsa dalam soal siasat yang dilakukan terhadap mereka.

“Mereka berdua kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa pula dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat. - K! ONLINE