Meskipun tidak mencapai sasaran untuk meletakkan negara berada di kedudukan ke-10 terbaik, namun jerih perih para atlet yang berusaha sedaya upaya mengharumkan nama Malaysia pada Sukan Komanwel harus dipuji dan dihargai.

Bagi atlet yang kurang bernasib baik, jangan jadikan kegagalan sebagai pengakhiran, sebaliknya berusaha lebih gigih lagi untuk meningkatkan prestasi pada kejohanan lain ter­utamanya Sukan Asia 2018 di Palembang dan Jakarta, Indonesia Ogos depan.

Penulis sedia maklum, apabila atlet negara tidak mencapai sasaran yang diharapkan, maka bertubi-tubi kritikan dilemparkan terhadap mereka selain ringan pula telunjuk segelintir pihak menuding kegagalan tersebut di­sebabkan hal itu atau orang ini.

Dalam erti kata lain, Program Podium yang menjadi platform mempersiapkan atlet-atlet ke temasya sukan ber­kenaan menjadi kambing hitam kerana dikatakan gagal mencapai matlamat ditetapkan.

Mula bertebaran kritikan-kritikan terhadap keberkesa­nan Program Podium yang dikendalikan oleh Institut Sukan Negara (ISN) sejak diperkenalkan pada 2 Februari 2016.

Sebagai rekod, Program Podium merupakan prog­ram persediaan khas untuk atlet elit negara dengan peruntukan RM145 juta, bertujuan membantu mereka meraih kejayaan cemerlang pada temasya sukan antarabangsa seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan ­Olimpik.

Hingga Januari 2018, 146 atlet daripada 22 jenis sukan terdiri daripada 108 atlet lelaki dan 38 wanita terpilih menyertai program berkenaan.

Pada penulis, mengecam Program Podium sebagai satu rancangan gagal berdasarkan prestasi Sukan Komanwel semata-mata adalah tidak betul memandangkan program itu masih baharu untuk terus dihukum atau dipersalahkan.

Banyak lagi faktor yang menjadi penentu kepada kejayaan atau kegagalan seseorang atlet dan penulis mengambil satu contoh sahaja dalam kes ini iaitu elemen nasib.

Percaya atau tidak, kadangkala nasib mempengaruhi pres­tasi seseorang atlet ketika beraksi. Siapa sangka pasa­ngan terjun negara, Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri yang pada awalnya mampu bersaing meraih pingat emas selepas empat terjunan acara 3 meter papan anjal seirama Sukan Komanwel, namun akhirnya akur menggenggam gangsa disebabkan kesilapan pada terjunan terakhir.

Begitu juga dengan nasib gimnas negara, Koi Sie Yan yang akur kalah tipis (0.100 mata) untuk meraih pingat perak selepas mencatatkan 13.850 mata berbanding gimnas dari Kanada, Sophie Crane yang merangkul emas apabila me­ngumpul 13.950 mata dalam acara belantan.

Disebabkan perkara-perkara tidak terduga ketika persaingan menyebabkan sukan itu satu seni yang menarik dan mewujudkan rasa keterujaan. Benar kata pepatah, adat bersukan, ada kalah dan ada yang menang.

Bagaimanapun, bukan kerana penekanan elemen nasib, maka tiada perancangan dan usaha dilakukan untuk para atlet. Justeru, Program Podium merupakan platform yang tepat, cuma penulis berharap mana-mana pihak tidak terlalu cepat menghukum keberkesanannya.

Pengarah Program Podium, Tim Newenham turut me­minta agar memberikan lebih masa kepada program terbabit untuk melihat impak positif.

“Dua tahun terlalu singkat untuk menguji program berpres­tasi tinggi kerana Britain mengambil masa 20 tahun, begitu juga Australia selama 30 tahun. Sekarang adalah fasa program ini berkembang.

“Setiap program perlu mengambil sedikit masa dan sekarang ia sudah berada di landasan tepat. Kita perlu bersabar dan sebab itu kami berpuas hati dengan tahap kemajuan dipamerkan atlet-atlet,” kata Newenham.