Pelaksanaan sistem cukai lama itu yang sudah tidak lagi diamalkan oleh kebanyakan negara bakal menguji sejauh mana kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu menunaikan janji bahawa ia tidak akan membebankan kocek rakyat.

Penyokong kerajaan yakin sungguh bahawa cukai SST tidak akan membebankan rakyat namun pihak yang menentang mendakwa sebaliknya.

Di media-media sosial ketika kini sudah tersebar kenya­taan syarikat pengeluar tayar dan minyak pelincir tertentu bahawa mereka akan melakukan pengubahsuaian harga berikutan pengenalan SST. Bahasa mudahnya, mereka akan menaikkan harga barangan yang dijual.

Syarikat pengeluar kereta, Proton mengakui bahawa harga produk akan naik antara RM1,500 hingga RM3,000 berikutan pengenalan sistem tersebut.

Namun antara sekian banyak pendapat sama ada pro atau sebaliknya terhadap SST, ada pihak berhujah bahawa tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, dari dulu sampai sekarang, apabila setiap kali cukai diperkenalkan, maka harga barang akan turun.

Sesungguhnya masyarakat amat sensitif dengan sebarang sistem percukaian yang diperkenalkan.

Residen British yang pertama di Perak, J.W.W. Birch mati dibunuh pada November 1874 apabila beliau mengisytiharkan bahawa pungutan cukai boleh dilaksanakan oleh mereka yang dilantik Residen Inggeris sahaja, bukannya pembesar tempatan dan raja atau wakil raja.

Dalam era moden, pelaksanaan GST di negara ini mendapat tentangan meluas rakyat sama ada dalam diam mahupun terbuka. Malah, jelas sekali GST menjadi salah satu punca kejatuhan Barisan Nasional.

Keadaan yang sama boleh menimpa kerajaan PH. Di laman-laman sosial baik dalam kalangan penyokong kerajaan mahupun pembangkang mendakwa PH gagal menunaikan banyak janji manifestonya dalam tempoh 100 hari meme­rintah.

Tidak susah bagi kerajaan untuk melihat respons rakyat terhadap pemerintahan mereka. Hanya perlu buka Whats­App dan semua laman sosial, lihat posting netizen, maka tahulah pendirian rakyat terhadap pemerintah sedia ada.

Jangan ulangi lagi kisah Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dulu pernah berjanji bahawa harga barang akan turun jika GST dilaksanakan namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Ironinya selepas kerajaan BN tumbang pun, ketika berbahas di Dewan Rakyat baru-baru ini, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu masih lagi mendakwa harga barang memang turun ketika GST dilaksanakan.

Beliau seolah-olah memperlekehkan komen ahli-ahli Parlimen kerajaan yang tidak puas hati dengan dakwaannya itu menerusi kata-kata sinis: “Ada aku kisah apa yang korang cakap?”

Jika ahli-ahli Parlimen PH mengulangi perangai ahli-ahli Parlimen pembangkang ini yang sanggup berhujah dan mengeluarkan kata-kata tanpa memikirkan hati kecil rak­yat, percayalah mereka juga boleh tumbang pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam era serba moden ini, rakyat sanggup melakukan apa sahaja untuk menikmati kehidupan selesa.

Mereka sanggup memilih kerajaan baharu walaupun cahayanya masih samar-samar kerana tidak sanggup lagi bersama kerajaan lama yang dilihat tidak prihatin dengan rintihan hati kecil mereka.

Tidaklah sukar bagi kerajaan sedia untuk terus kekal asalkan mereka menjalankan pemerintahan secara jujur, tidak rasuah, tidak mengamalkan kronisme dan nepotisme, adil dan saksama pada semua kaum serta sentiasa mendengar keluhan rakyat.

Jangan sampai satu hari nanti apabila rakyat pula berkata, “ada aku kisah apa korang cakap.” Maka ketika itu, PH boleh­lah gulung tikar untuk kembali menjadi pembangkang.