Tuduhan tersebut didakwa dibuat Abdul Yunus bagi mendapatkan habuan daripada dua syarikat berkaitan pertanian.

Abdul Yunus berkata, beliau juga akan membuat laporan rasmi kepada Kementerian Pendidikan mengenai penglibatan seorang guru merangkap bekas pegawai khasnya yang turut bersubahat membuat tuduhan palsu dengan tujuan untuk menjatuhkannya sekali gus menggugat kestabilan kerajaan.

"Saya merupakan wakil rakyat tiga penggal, gaji dan elaun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau dan Exco sudah cukup.

"Pada tahun 2009, saya tolak rasuah puluhan juta untuk melompat parti. Jadi, amat pelik jika saya ingin mengambil rasuah beberapa ratus ribu seperti yang dituduh sekarang," katanya ketika ditemui selepas tampil membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.

Abdul Yunus yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri berkata, beliau sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya tuduhan jahat serta fitnah yang dilempar terhadapnya melalui laporan polis yang dibuat serta ditularkan dalam media sosial sejak semalam.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, Ahli Majlis Daerah Kerian, Beh Yong Kean yang juga Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, membuat laporan polis apabila mendakwa seorang Ahli Axco kerajaan negeri telah membocorkan kertas minit MMK negeri bagi mendapatkan komisyen daripada dua buah syarikat pertanian.

Menurutnya, perkara itu berlaku selepas Exco berkenaan bersetuju untuk menyokong permohonan pemilikan tanah pertanian seluas lebih 36 hektar kepada dua buah syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Abdul Yunus mendakwa, Yong Kean ialah pemilik kilang haram di Tanjung Piandang yang kini dalam proses tindakan penguatkuasaan oleh beberapa agensi.

Menurut Abdul Yunus, beliau yakin Yong Kean mempunyai motif dendam memandangkan beliau juga tidak menyokong kelulusan beberapa permohonan tanah yang dimintanya sejak tahun lalu.

"Saya dan pegawai-pegawai pusat khidmat akan bermesyuarat setiap minggu atau bulan, banyak dokumen serta surat-surat kerajaan yang dibincangkan untuk menyelesaikan pelbagai aduan dan masalah rakyat.

"Saya kongsi pelbagai maklumat dan data dengan pegawai-pegawai khas dan kakitangan pejabat atas kapasiti sebagai wakil rakyat dalam urusan rasmi. Apa masalahnya? Pengadu sendiri pun telah mengaku beliau adalah pegawai khas saya sebelum ini," katanya. - K! ONLINE