Setiausaha Politik Presiden Pas, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara tersebut diputuskan selepas sesi pendengaran berlangsung selama empat jam di hadapan Hakim Dingermans.

"Mahkamah menolak sebahagian besar daripada keseluruhan penyataan pembelaan oleh Rewcastle-Brown dan dalam erti kata lain Tuan Guru Abdul Hadi mempunyai asas yang kuat untuk terus mengemukakan saman.

"Perkembangan positif ini menggambarkan bibit-bibit kekalahan bagi defendan selepas hakim memerintahkan Rewcastle-Brown untuk membayar sebanyak RM227,700 (41,400 pound) sebagai kos bayaran guaman Abdul Hadi yang perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari," katanya dalam satu sidang akhbar khas di Masjid Rusila di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan. 

Sementara itu, menurut Takiyuddin, kes saman tersebut masih belum dibatalkan dan sesi perbicaraan berkaitan tuntutan Abdul Hadi ditetapkan pada April 2019.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April tahun lalu.

Ia susulan laporan portal berita berkenaan pada Ogos 2016 yang mendakwa Pas menerima dana sejumlah RM90 juta sebagai usaha bagi menarik kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan Umno. - K! ONLINE