Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus memberi penjelasan berhubung perkara itu. 

"Saya fikir perkara ini belum difahami sepenuhnya, dan saya fikir kita harus  mendapatkan penjelasan  bukan hanya oleh (bekas) Peguam Negara sendiri tetapi apa situasi sebenarnya yang berlaku pada ketika itu.

"Walaupun sekiranya beliau (Gani) memberi penjelasan atau tidak ia tidak akan membantu. Pihak lain termasuk SPRM perlu menjelaskan kenapa ketika itu tiada pendakwaan," katanya," kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Poh Kong Gold Note of Hope.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang menggesa Abdul Gani memberi penjelasan kenapa tidak mendakwa Musa pada tahun 2012. 

Isnin lalu, Musa berdepan 35 pertuduhan rasuah kerana didakwa menerima RM253 juta rasuah berkaitan kontrak pembalakan. 

Berhubung dakwaan bekas menteri yang juga ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim bahawa "jutawan" dan "tauke" mempengaruhi keputusan kerajaan Pakatan Harapan, Mahathir berkata, Zaid bebas memberi pendapat. 

"Saya tidak perlu bersetuju dengan semua orang. Mereka bebas memberikan pendapat di negara ini. 

"Mungkin dia ada bukti. Dia boleh tunjukkan bukti, berapa bilion yang saya ada," katanya. 

Sementara itu, Mahathir berkata, kerajaan Pakatan Harapan perlu membetulkan masalah diwarisi kerajaan terdahulu untuk pulih semula menjadi sebuah negara dihormati dunia. 

"Soal menyalahkan orang itu soal undang-undang bukan soal kita," katanya ketika diminta mengulas saranan Tun Daim Zainuddin agar kerajaan Pakatan Harapan menumpukan usaha menunaikan janji Pilihan Raya Umum Ke-14 dan berhenti menyalahkan kerajaan terdahulu. - Bernama