Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad hari ini.

Menurut beliau, suspek berusia 38 tahun terbabit membuat pengakuan mendera anak lelakinya yang berusia 11 tahun itu namun, tidak seteruk dialami adik perempuannya. 

"Hasil siasatan polis, suspek mengaku turut memukul kanak-kanak lelaki itu yang tinggal bersamanya," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini, hari ini.

Kosmo! pada 2 Februari lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera oleh bapa kandung dan ibu tirinya pada malam 31 Januari lalu.

Berkiutan itu, polis menahan pasangan suami isteri terbabit pada 1 Februari 2018 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Keputusan bedah siasat terhadap murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Lukut dekat sini itu mendapati dia mengalami kecederaan pada buah pinggang, selain usus terkoyak serta patah tulang rusuk. 

Sementara itu, Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini, membenarkan tempoh tahanan reman pasangan suami isteri itu dilanjutkan tujuh hari lagi, bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan. - K! ONLINE