Mangsa yang berusia 17 tahun itu sudah tidak tahan lagi diperlakukan sedemikian rupa oleh darah daging sendiri lalu bertindak nekad lari dari rumahnya sebelum membuat laporan polis semalam. 

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa melarikan diri dari rumah yang didiami bersama dua lagi abangnya itu pada pukul 10.40 pagi semalam sebelum membuat laporan polis pada pukul 12.45 tengah hari. 

“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan anak yatim piatu dan anak bongsu daripada empat beradik yang menyewa sebuah rumah di Tapah. 

“Mangsa memberitahu dia sering dikongkong oleh suspek dan dia turut diberhentikan persekolahannya tanpa alasan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Wan Azharuddin, gadis itu mendakwa dia hanya dicabul abang sulungnya itu pada 2014. 

“Bagaimanapun pada 2017, suspek bertindak lebih keji dengan merogol dan meliwat mangsa yang berusia 14 tahun ketika itu. 

“Kali terakhir suspek melakukan perkara sama terhadap mangsa adalah pada Jumaat lalu,” jelasnya. 

Katanya, suspek yang bekerja sebagai kelindan lori itu bertindak sedemikian hanya ketika dua lagi adik-beradik mereka tiada di rumah. 

“Mangsa telah diugut tidak akan diberi makan dan duit belanja sekiranya menceritakan kejadian ini kepada orang lain. 

“Mangsa telah dirawat di Hospital Slim River dan kini mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Teluk Intan,” katanya. 

Katanya, suspek ditahan sepasukan anggota di kampungnya di sini pada pukul 8.30 malam tadi dan kini dia ditahan reman selama tempoh tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 Mac depan. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) dan Seksyen 377(C) Kanun Keseksaan kerana rogol dan seks di luar tabii,” katanya. - K! ONLINE