Ketua Operasi AADK Kuala Langat, Nurhafidzah Abdullah berkata, serbuan itu dijalankan oleh AADK Kuala Langat dengan kerjasama AADK Sepang kira-kira pukul 11 malam tadi selepas pihaknya menjalankan risikan di rumah tersebut selama dua minggu.

Jelasnya, sewaktu serbuan, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 25 hingga 47 tahun sedang khayal dipercayai selepas menagih dadah jenis methamphetamine.

"Hasil siasatan mendapati, ketua keluarga dan adik ipar lelakinya bekerja sebagai pemandu lori manakala isteri, adik-adik serta ipar duainya yang lain tidak bekerja.

"Berdasarkan pemeriksaan di dalam rumah itu, kita dapati mereka menjalankan kegiatan pengedaran dadah jenis methamphetamine kepada penagih di sekitar Kanchong Darat," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Nurhafidzah, sewaktu serbuan dijalankan, seramai 15 orang ahli keluarga berada di dalam rumah tersebut namun, lapan orang yang lain termasuk dua kanak-kanak dipercayai cucu salah seorang suspek negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Jelasnya, hasil pemeriksaan juga mendapati dadah yang berada di dalam simpanan mereka dipercayai sudah habis dijual dan hanya penyedut minuman yang digunakan untuk mereka menagih dadah ditemui.

Ujar Nurhafidzah, siasatan terhadap penduduk setempat juga mendapati mereka telah menjalankan kegiatan mengedar dadah di rumah itu sejak dua bulan lalu.

"Orang kampung kerap melihat penagih dadah datang ke rumah mereka dalam tempoh tersebut.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, mereka menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara kecil-kecilan dan tidak menyimpan stok dadah yang banyak dalam satu-satu masa," katanya.

Jelasnya, kesemua suspek di reman selama 14 hari di lokap ibu pejabat AADK Sungai Merab dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983. - K! ONLINE