Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha memerangi dadah di negara ini masih belum berjaya sepenuhnya walaupun Dasar Dadah Negara sentiasa berubah dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, sebagai agensi utama dalam hal berkaitan pencegahan dadah, AADK perlu terkehadapan dan berinovasi dalam aspek penguatkuasaan dan pemulihan yang digunakan kerana pengedaran dan pembuatan bahan terlarang itu telah berubah kepada kaedah bukan konvensional.

"Walaupun dadah adalah satu isu global, kita tetap perlu melakukan yang lebih baik bagi menangani dan mengatasi isu yang berpanjangan ini.

"Sebab itu saya telah minta Ketua Pengarah AADK (Datuk Dr. Abd. Halim Mohd. Hussin) untuk melihat semula apa yang tidak kena dengan sistem sedia ada atau kesilapan yang wujud dari segi penguatkuasaan dan pemulihan yang dilaksanakan selama ini," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini. - Bernama