Naib Canselor UniSZA,  Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, 615 orang daripada pelajar baharu tersebut terdiri daripada perempuan manakala baki 303 pula adalah pelajar lelaki.

Beliau berkata, kesemua pelajar baharu berkenaan masing-masing akan mengikuti program Asasi Sains Perubatan dan diploma di tujuh fakulti yang terdapat di UniSZA.

“Fakulti yang menawarkan program diploma untuk pelajar baharu terbabit ialah Bahasa dan Komunikasi, Ekonomi dan Sains Pengurusan, Informatik dan Komputeraan serta Pengajian Kontemporari Islam.

“Selain itu, ia turut melibatkan Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi, Sains Kesihatan, Sains Sosial Gunaan serta Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Hassan Basri berkata, pendaftaran pelajar baharu yang rata-ratanya ditemani ibu bapa dan ahli keluarga mereka telah bermula pada pukul 8 pagi.

Menurut beliau, kesemua pelajar baharu terbabit akan menjalani Minggu Mesra Siswa selama lima hari sehingga Jumaat ini.

“Mereka akan melalui pelbagai aktiviti suai kenal kepada alam kampus sepanjang Minggu Mesra Siswa ini termasuk larian kemanusiaan, bicara siswa dan program sukarelawan bersama komuniti,” katanya. - K! ONLINE