Jurucakap Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata hujan lebat telah menyebabkan beberapa kawasan rendah di Kampung Sri Sentosa dan Kampung Sri Aman dinaiki air.

Menurutnya, penduduk dari 35 keluarga itu kini ditempatkan di dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfield, sementara menunggu air surut.

"Mereka telah dipindahkan secara berperingkat sejak tengah hari tadi dan setakat pukul 5.30 petang ini seramai 91 mangsa ditempatkan di dewan MDKS ini.

"Selain unit ini, beberapa agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain termasuk bomba akan memantau perkembangan cuaca dan dalam keadaan bersedia 24 jam bagi memastikan keadaan terkawal".

"Kita juga tidak tolak kemungkinan akan ada pertambahan bilangan mangsa sekiranya hujan berterusan," katanya.

Penduduk di sekitar daerah itu juga dinasihatkan supaya berjaga-jaga dan mengambil langkah persediaan dengan segera berpindah ke kawasan selamat sekiranya kawasan kediaman mereka dinaiki air. - Bernama