Ketua Penolong Pengarah Kanan Pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas JKM negeri, Adnan Md Yasin berkata, kebanyakan mereka dijaga sejak bayi serta tidak mempunyai pengenalan diri hingga dewasa. 

"Ada juga keluarga yang menghantar anak tetapi apabila anak itu sudah besar untuk dipulangkan, pihak kami gagal mengesan waris atau penjaga walaupun pada asalnya ada alamat untuk dihubungi," katanya yang ditemui selepas merasmikan sambutan Aidilfitri peringkat Pusat Jagaan  Warga Emas dan OKU Taman Sinar Harapan Tampoi di sini hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan JKM biasanya adalah golongan OKU dan daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk menjaganya.

Katanya, kesedaran masyarakat untuk menjaga kebajikan golongan OKU kanak-kanak semakin meningkat berbanding dahulu.

"Pusat jagaan JKM tidak boleh sewenang-wenangnya akan memberi jagaan (OKU dan warga emas), banyak prosedur yang perlu diteliti terlebih dahulu," katanya. - Bernama