Operasi yang bermula pada pukul 10.30 malam itu dianggotai oleh 96 pegawai JIM dibantu 14 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lima Angkatan Pertahanan Awam (APM) hasil daripada maklumat yang dikongsi persatuan penduduk.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan satu tahun hingga 66 tahun. 

"Dalam operasi kali ini, kami menahan sebanyak 78 orang warga Nigeria, seorang masing-masing daripada India dan Pakistan, enam orang warga Filipina serta empat kanak-kanak.

"Kesemua PATI yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, pas tamat tempoh, dan menjalankan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas operasi tamat.

Tambah Khairul, mereka (PATI) dikatakan membuat bising, mabuk serta menimbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk tempatan.

"Sebahagian daripada warga asing ini tidak memberikan kerjasama menyebabkan pihak berkuasa terpaksa memecahkan pintu unit kediaman mereka untuk ditangkap.

"Kami juga menemui laptop yang memaparkan maklumat mencurigakan dan dipercayai mereka sedang menjalankan aktiviti  penipuan atau scammer terhadap warga tempatan," ujarnya 

Menurutnya, pihaknya akan terus melaksanakan operasi seperti ini secara lebih agresif kerana rakyat sememangnya berasa tidak selesa dengan kehadiran mereka yang menimbulkan kekacauan.

Dalam pada itu, Khairul menambah, JIM turut menahan 40 warga asing di Puchong dalam serbuan berasingan.

"Kesemua tahanan akan dibawa ke lokap JIM Putrajaya sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil atau Semenyih," ujarnya. - K! ONLINE