Dalam kejadian itu, sekumpulan pendaki dari Kuala Lumpur berusia lingkungan 30-an itu sepatutnya keluar dari bukit tersebut sebelum pukul 7 malam namun mereka terpaksa berkumpul di suatu tempat bagi mendapatkan bantuan selepas seorang rakannya pengsan akibat disengat tebuan. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Rozmi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada salah seorang pendaki tersebut pada pukul 10.26 malam sebelum sepasukan sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian. 

“Anggota bersama seorang Pegawai Renjer Hutan memulakan operasi menyelamat dan kita tiba di lokasi pada pukul 1.18 pagi. 

“Mangsa yang pengsan sebelum ini telah sedarkan diri namun berada dalam keadaan yang sangat lemah dan tidak mampu berjalan,” katanya. 

Katanya, anggota membawa mangsa menuruni bukit tersebut menggunakan pengusung dan menyerahkannya kepada pasukan perubatan pada pukul 2.30 pagi. - K! ONLINE