Daripada jumlah itu, seramai 666 orang daripadanya meninggal dunia dalam kemalangan ketika perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja, manakala 222 maut akibat kemalangan di tempat kerja.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohamed Azman Aziz Mohammed berkata, dalam tempoh itu, terdapat sebanyak 72,631 kes kemalangan pekerja dengan 35,195 daripadanya adalah kemalangan dalam perjalanan.

"Ia meningkat berbanding 2017 iaitu 69,980 kemalangan yang dilaporkan kepada Perkeso dengan 33,319 adalah kemalangan dalam perjalanan.

"Justeru kemalangan perjalanan atau sewaktu berulang-alik ke tempat kerja perlu diberi perhatian serius semua pihak terutamnya majikan bagi memastikan keselamatan pekerja mereka," kata Mohammed Azman pada ucapannya hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Program Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Kerjasama Flex Penang yang disempurnakan Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran di Prai di sini.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, kajian pihaknya dengan institusi pengajian tinggi awam mencatatkan 52 peratus kemalangan perjalanan adalah berlaku ketika perjalanan pergi ke tempat kerja.

"Ia berlaku dalam lingkungan lima kilometer sahaja dari destinasi, manakala 65 peratus daripadanya melibatkan golongan belia bawah 40 tahun, (80 peratus) golongan lelaki dan (76.9 peratus) membabitkan penunggang motosikal.

"Faktor sikap seperti cara menunggang berbahaya, memandu lebih had laju dan menggunakan telefon bimbit semasa menunggang atau memandu adalah tabiat yang sering dilakukan sehingga mengakibatkan kemalangan," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perkeso membelanjakan kira-kira RM689 juta bagi bayaran pampasan kemalangan perjalanan pergi dan pulang ke tempat kerja pada tahun lalu dan hampir RM316 juta dibelanjakan bagi tujuan itu untuk tahun ini sehingga Mei. - K! ONLINE