Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, hasil kerjasama JSJN Bukit Aman dan polis kontinjen negeri melakukan 54 serbuan di Kelantan dan Pahang.

“Sebanyak 33 serbuan dilakukan di Kelantan dan 21 serbuan dilakukan di Pahang dengan seramai 88 pengedar dadah kecil-kecilan termasuk tujuh wanita ditahan.

“Semua suspek berusia lingkungan 19 hingga 53 tahun ditahan bersama dadah bernilai RM189,000 dengan rampasan kenderaan, wang tunai dan barang kemas bernilai RM372,000,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Mohd. Khalil berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya turut merampas sepucuk pistol jenis Sig Sauer berserta 88 butir peluru 9mm.

“Walaupun mereka pengedar kecil-kecilan tetapi mereka turut memiliki senjata api dan peluru untuk kegiatan ini.

“Ops Damn Tokan ini dilakukan bagi kita menghancurkan bekalan dan permintaan. Selalu operasi kita sasarkan pembekal tapi kita ubah pendekatan turut sasarkan permintaan dan bekalan dadah yang berada dalam pasaran,” katanya.

Tambahnya, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE