Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, sebanyak 83,617 kes kehilangan pasport milik rakyat Malaysia dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Menurut beliau, jumlah itu meningkat berbanding 75,600 kes kehilangan pada 2017 dan 44,528 kes pada 2016.

"Denda itu bertujuan mendidik pemegang pasport supaya lebih bertanggungjawab dan berhati-hati menjaga dokumen keselamatan negara itu," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Kawalan Kehormatan Penolong Penguasa Imigresen KP29 Siri 1 Tahun 2018 di Akademi Imigresen Malaysia di sini pagi ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Pusat Anti Jenayah Kewangan Nasional, Datuk Seri Mustafar Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Kawalan JIM, Datuk Shahril Ismail.

Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan rakyat Malaysia yang mahu menggantikan kehilangan dan kerosakan pasport akan dikenakan denda sebanyak RM300 sehingga RM1,200.

Perintah denda itu terkandung dalam Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2019 bertarikh 20 Disember 2018 yang digazetkan minggu lalu.

Bagaimanapun, Abdul Halim menjelaskan, JIM cuma melaksanakan denda kehilangan pasport RM200 bagi kehilangan kali pertama, RM500 (kali kedua) dan RM1,000 (kali ketiga) bermula 2 Januari lalu. - K! ONLINE