Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, penerima tersebut terdiri daripada golongan asnaf dan mahasiswa daripada golongan keluarga isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Beliau berkata, sumbangan tersebut sekurang-kurangnya dapat meringankan beban golongan mahasiswa keluarga B40 yang kini mencecah hampir 40 peratus daripada keseluruhan pelajar UiTM ketika ini.

"Ketika ini pelajar UiTM lebih 160,000 orang dan jumlah pelajar tergolong dalam kumpulan B40 hampir 40 peratus atau kira-kira 64,000 orang.

"Justeru itu, kami berharap agar Alumni UiTM yang kini telah melebihi 700,000 orang tampil menyertai kita dan memberi sumbangan kepada TP1B ini agar lebih ramai mahasiswa UiTM menerima manfaatnya pada masa akan datang,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan kepada Mahasiswa Asnaf dan Alumni UiTM 2019 di sini hari ini. 

Turut hadir, Pengerusi TP1B, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Presiden PAUiTM, Datuk Zaini Hassan.

Pada majlis berkenaan seramai 100 orang mahasiswa dari kampus Shah Alam dan Puncak Perdana melibatkan 14 kolej menerima sumbangan berupa wang tunai RM300 setiap seorang serta barangan makanan.

Mengulas lanjut Syed Zainal berkata, pihaknya kini dalam usaha untuk mengeratkan hubungan antara pihak universiti dalam Alumni UiTM bagi merealisasikan impian TP1B.

"Saya sudah berbincang dengan pengurusan tertinggi UiTM dan juga persatuan alumni di seluruh negara supaya kita dapat jalinkan kerjasama yang erat antara satu sama lain.

"Kita ada lebih 700,000 alumni UiTM dan mereka juga ada persatuan mereka sendiri di peringkat negeri dan fakulti. Justeru kalau kita dapat mengabungkan semua serta dapat menyumbang, sasaran tabung itu akan dapat kita capai," ujarnya. - K! ONLINE