Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK negeri, Wan Jalani Wan Ismail berkata, operasi selama tiga hari bermula semalam sehingga esok turut mendapat kerjasama daripada pihak polis dari kedua-dua daerah.

"Kita berjaya menahan seramai 83 individu berusia lingkungan 17 hingga 58 tahun menerusi serbuan di kedua-dua daerah dan hasil pemeriksaan mendapati tiga daripadanya bebas najis dadah.

"Bagi daerah Dungun, AADK melakukan serbuan di sekitar Kuala Dungun, Paka serta Ketengah Jaya manakala di Kemaman meliputi kawasan Kuala Kemaman, Chukai dan Cheneh," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Wan Jalani, operasi yang dijalankan menyasarkan lokasi-lokasi tumpuan penagih dadah iaitu di kawasan luar bandar.

Katanya, 12 daripada individu yang ditahan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, 31 lagi akan direman di pusat tahanan AADK Gambang manakala selebihnya dikenakan tindakan dibawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Serbuan akan diteruskan sehingga esok dan kita menyasarkan tangkapan kira-kira 100 penagih dalam operasi kali ini," ujarnya. - K! ONLINE