Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini berkata, 16 orang bekas kakitangan masih dalam pertimbangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk kelulusan pelantikan.

Jelasnya, 31 bekas kakitangan lagi tidak memenuhi syarat asas termasuk melebihi had usia perlantikan.

“Setiap penawaran bergantung kepada kekosongan yang ada termasuk di Sabah dan Sarawak. Semua penjawat awam tertakluk kepada arahan penempatan berdasarkan kepentingan perkhidmatan.

“Baki seramai 128 orang lagi masih dalam proses padanan kerja dengan kerjasama agensi Jobs Malaysia,” katanya.

Media tempatan baru-baru ini melaporkan dua pegawai SPAD Gred 41 yang telah diberi posisi kumpulan sokongan iaitu Gred 19 dengan salah seorang daripada mereka akan ditempatkan di Sarawak.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan itu merupakan bukti penganiayaan kerajaan Pakatan Harapan kepada rakyat.

Mengulas lanjut , menurut kenyataan itu, kementerian menyarankan supaya setiap bekas kakitangan bersikap positif dan mengambil peluang yang ditawarkan oleh semua pihak termasuk swasta.

Ujarnya, kementerian juga menegaskan proses pengambilan dan penempatan bekas kakitangan SPAD mengambil sedikit masa ekoran keperluan kerajaan untuk menyaring setiap pencalonan secara rapi selain perlu melaksanakan padanan kerja berdasarkan kekosongan.

“Ini bagi mengelakkan salah padanan yang mungkin mengakibatkan rasa tidak puas hati pihak berkaitan selain mengelakkan insiden pelanggaran integriti melibatkan bekas kakitangan SPAD seperti yang tersiar di media semalam,” katanya. - K! ONLINE