Penolong Pengarah Giat Mara Batu Sapi, Erwan Syamsudin berkata, kerja baik pulih rumah tersebut dilaksanakan oleh Pusat Giat Mara Batu Sapi dengan peruntukan keseluruhan RM1.17 juta, menjadikan kos untuk setiap rumah adalah RM15,000.

“Setakat ini, kerja baik pulih sudah selesai untuk 35 rumah manakala 38 rumah lagi sedang dibaik pulih dan selebihnya masih dalam proses dokumentasi,” katanya ketika ditemui selepas Program Lawatan Kerja dan Sentuhan Kasih Anggota Dewan Undangan Negeri Sekong, Datuk Samsudin Yahya di Kampung Sundang Laut, hari ini.

Projek tersebut melibatkan rumah di Kampung Bakau, Sundang Laut, Karamunting, Bokara, Gas, Tanah Merah, Lupak Meluas dan Bambangan.

Dalam pada itu, Samsudin berkata, projek baik pulih rumah itu merupakan komitmen kerajaan dalam memberi keselesaan kepada penduduk yang berpendapatan rendah dan banyak melibatkan mereka yang tinggal di pulau dalam kawasan Batu Sapi. - Bernama