Pengarah HTAR, Dr. Ding Lay Ming berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya, punca kejadian tersebut  disebabkan makanan yang disediakan pihak katerer luar dan bukannya hospital berkenaan.

"Melalui siasatan yang kita jalankan, keracunan makanan melibatkan kakitangan Jabatan Anestesiologi berpunca selepas semua kakitangan terbabit menikmati jamuan yang disediakan selepas tamat mesyuarat jabatan berkenaan pada hari yang sama.

"Bagaimanapun, pihak pengurusan bersama pasukan klinikal telah menguruskan insiden yang berlaku sebaik mungkin bagi memastikan operasi hospital berjalan lancar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, pihaknya terpaksa menangguhkan beberapa pembedahan yang dijadualkan dua hari lalu, namun insiden tersebut tidak menjejaskan pembedahan kecemasan dan perkhidmatan rawatan intensif.

" Kementerian Kesihatan kini sedang menjalankan siasatan selain menjalankan tindakan pemulihan yang sewajarnya.

"Kerjasama dan bantuan daripada semua pihak buat masa ini membolehkan perkhidmatan bilik bedah beroperasi seperti biasa," ujarnya. - K! ONLINE