Dalam operasi yang bermula pada pukul 11.25 pagi hingga 7.40 malam itu, kesemua warga asing berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen, tinggal lebih masa dan salah guna pas lawatan.

Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, operasi yang disertai 36 pegawai dan anggota itu dilakukan berikutan tamatnya Program Penghantaran Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Secara Sukarela (3+1) pada Khamis lalu.

“Dalam dua serbuan di tapak binaan dan satu di medan selera sekitar Ipoh itu, kami telah memeriksa 119 warga asing dan 74 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.

“Kesemua mereka yang didapati melakukan kesalahan dibawa ke pejabat di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Meru Raya untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Imigresen Perak di sini semalam.

Menurut Kamalludin, pihaknya telah melakukan perancangan yang teliti dengan mengepung kawasan serbuan terlebih dahulu agar tiada warga asing yang terlepas daripada pemeriksaan.

“Kesemua tahanan yang terdiri daripada 23 orang warga Myanmar, 21 orang masing-masing warga Indonesia dan Bangladesh serta sembilan orang warga Vietnam ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Bagaimanapun, salah seorang daripada tahanan didapati menggunakan cop keluar palsu pada pasportnya dan dia disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Imigresen akan memanggil semua majikan dan menahan mereka sekiranya didapati melakukan kesalahan.

Sementara itu, Kamalludin berkata, pihaknya telah menahan 1,249 PATI dan 33 orang majikan dalam operasi yang dilakukan bermula Januari hingga Ogos lalu. - K! ONLINE