Operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan di tujuh daerah negeri ini dengan merekodkan daerah Kota Bharu paling tertinggi jumlah PATI yang ditahan.

Pengarah Imigresen Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata kesemua tangkapan melibatkan warga Bangladesh, Indonesia, Nepal, Myanmar, Pakistan dan Thailand berusia lingkungan 2 hingga 57 tahun.

"Kesemua PATI ditahan kerana tidak memiliki permit dan pas masuk yang sah, tinggal di negara ini selepas pembatalan permit atau pas yang dikeluarkan serta menyalahgunakan pas dan permit.

"Operasi penguatkuasaan tertumpu di premis perniagaan, rumah persendirian, penempatan rumah kongsi pekerja, kilang, stesen bas dan teksi, ladang, pengkalan haram di sempadan lapangan terbang dan pelabuhan serta rondaan di seluruh daerah negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Mohammed Saupee memberitahu, serahan daripada Aksem pula melibatkan seramai 25 PATI warga Myanmar dan Pakistan serta seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan mengangkut migran.

Beliau turut mendedahkan terdapat aktiviti penyeludupan PATI yang menggunakan kenderaan persendirian dan pengangkutan awam.

"Dalam operasi terbaru, seramai sembilan orang PATI yang dibiarkan berkeliaran di stesen bas selepas dihantar oleh kenderaan persendirian yang dipercayai mengambil upah tertentu.

"Mereka dipercayai mahu keluar dari negeri ini menggunakan bas ekspres awam namun gagal berikutan pemandu bas tidak mahu bersubahat sebelum ditangkap dan dibawa ke depoh imigresen untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Tambahnya, mana-mana majikan, syarikat atau pemilik kenderaan serta peniaga yang didapati menggaji atau mengangkut PATI atau memperoleh keuntungan daripada aktiviti pemerdagangan migran akan dikenakan hukuman berat dan didakwa mengikut Seksyen 55B, 56(1)(d)dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63. - K! ONLINE.