Ahli Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya, Datuk Seri Sh. Mohmed Fuzi Sh. Ali berkata, program anjuran Parlimen Pekan tersebut melibatkan 30 agensi dari sekitar daerah itu.

Menurut beliau, sebahagian agensi terlibat dalam program bermula pukul 7 pagi itu terdiri daripada Jabatan Kerja Raya, Angkatan Relawan Rakyat Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Angkatan Tentera Malaysia serta penduduk tempatan.

"Turut diadakan selepas selesai gotong-royong pada tengah hari ini ialah kenduri bersama semua sukarelawan di Medan Ikan Bakar Kuala Pahang bagi meraikan semangat kerjasama yang ditunjukkan mereka melalui program ini.

"Selain mengeratkan perpaduan dan semangat kerjasama, program ini juga bertujuan menggalakkan orang ramai menjaga kebersihan di kawasan persekitaran yang kita diami bersama," kata beliau kepada pemberita.

Tambah beliau, antara kawasan yang dibersihkan ialah di sekitar Kampung Kuala Pahang, Pantai Air Leleh serta pesisir Kuala Pahang yang menghubungkan Laut China Selatan. - K! ONLINE