Ketua Pengarahnya, Zulkifli Abidin berkata, penempatan itu akan dilakukan secara berperingkat melibatkan 21 lokasi di 10 kawasan Esszone bagi memenuhi kekuatan barisan pertahanan.

Menurut Zulkifli, setakat ini seramai 504 anggota RELA telah bertugas di Esszone sejak awal Januari lalu bagi membantu anggota keselamatan lain di sana.

"Pada hari ini seramai 206 anggota baharu akan menjalani latihan kursus khas untuk bertugas di Esszone, manakala 499 lagi sedang menjalani latihan yang sama.

"Kita mempunyai lebih 700 anggota yang sedia ditempatkan secara bergilir di Esszone sekiranya khidmat mereka diperlukan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ahli Bersekutu Rela di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Rela Negeri Sabah, Mohamad Pauzi Jhumat.

Tambah Zulkifli, kesemua anggota Rela yang ditempatkan di Esszone perlu menjalani latihan penggunaan senjata api yang dikendalikan Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Katanya lagi, anggota Rela tidak akan ditempatkan di barisan pertahanan hadapan sebaliknya bertindak sebagai pasukan barisan sokongan kedua bagi membantu mengawal keselamatan penduduk setempat. - K! ONLINE