Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam (4PA), Mohd. Hanif Md. Sultan berkata, perlaksaan caj parkir sebanyak 50 sen sejam itu dibuat secara tergesa-gesa oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tanpa mengambil kira pandangan dan pendapatan penduduk setempat terlebih dahulu.

Difahamkan, tiada caj dikenakan sebelum ini di tempat letak kereta di daerah ini.

"Kita boleh terima sekiranya semua masalah berbangkit seperti kualiti perkhidmatan pembersihan yang kurang memuaskan termasuk kemudahan fasiliti yang lengkap seperti jalan raya yang kurang diselenggara serta lampu jalan yang tidak berfungsi.

“Selain itu, kemudahan prasarana khususnya di Puncak Alam masih belum sempurna seperti balai polis, balai bomba, institusi perbankan, agensi penyedia utiliti belum diwujudkan lagi di sini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Saujana Utama, Khairul Annuar Jalaluddin serta lebih 16 pengerusi persatuan penduduk sekitar tiga kawasan tersebut.

Mohd. Hanif yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Sinar Alam menambah, lebih mengejutkan apabila caj tersebut turut dikenakan di kawasan lot kedai di dalam taman perumahan.

“Kawasan ini ada lot kedai dalam taman perumahan dan tidak sewajarnya caj parkir dikenakan kerana kawasan ini bukannya kawasan komersial.

“Lagipun tempoh tamat operasi caj parkir ini pun tidak munasabah sehingga pukul 6.30 petang sedangkan urusan pejabat tamat pukul 4.30 petang hingga 5 petang. Ini akan menyusahkan penduduk," tegasnya.

Sementara itu, Khairul Annuar turut hairan apabila kontraktor menyelia operasi caj sudah dilantik meskipun tempoh bantahan boleh dibuat dalam sebulan.

“Kami terima notis ini melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook MDKS dan bukannya ada makluman rasmi mengenai pelaksanaan ini.

“Dalam notis itu telah menjelaskan kontraktor telah dilantik tanpa sebarang perbincangan langsung bersama wakil penduduk," ujarnya.

Jelas Mohd. Hanif, rata-rata penduduk Saujana Utama masih mempertikaikan mutu kerja MDKS yang dianggap masih lemah.

“Tingkatkan mutu kualiti kerja sebelum hendak laksanakan caj parkir ini," katanya. - K! ONLINE