Jumlah permohonan yang diterima itu adalah hampir sepuluh kali ganda berban­ding kuota maksimum yang ditawarkan di 54 buah MRSM di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sehingga­ tarikh tutup permohonan pada 4 Di­sember lalu, 70,000 permohonan telah diterima oleh pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara), berbanding hanya 7,760 tempat yang ditawarkan.

Bagaimanapun katanya, seperti yang telah diputuskan kerajaan baharu, kuota 65 pe­ratus kemasukan bermula tahun hadapan mesti diisi pelajar dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Kumpulan B40 merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan purata bulanan di bawah RM3,860 Kumpulan B40 juga merangkumi isi rumah miskin yang berpendapatan bulanan kurang dari­pada pendapatan garis kemiskinan (PGK) iaitu RM950 sebulan.

“Pendaftaran kemasukan ke Tingkatan 1 MRSM akan bermula pada 14 Januari depan manakala semakan keputusan boleh dibuat pada 21 Di­sember ini melalui laman web Mara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan pada Program Jom Kembali Ke Sekolah di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Mutiara dekat sini semalam.

Pada program semalam, seramai 880 pelajar me­nerima bantuan persekolahan anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) itu yang turut mendapat kerja­sama Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Daripada jumlah itu, 280 pelajar sekolah rendah sekitar Kulim, Sik dan Baling menerima beg sekolah, set alat tulis dan botol air tajaan KPTM selain pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM30.

Rina berkata, buat pertama kali, beliau telah mengarahkan Mara agar mengumumkan keputusan pelajar yang berjaya diterima masuk ke MRSM lebih awal iaitu pada bulan ini bagi mengelakkan ibu bapa terpaksa membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka berulang kali.

“Ia bagi mengelak perse­diaan persekolahan yang terpaksa dibuat dua kali oleh ibu bapa ataupun ibu bapa terpaksa menolak terus tawaran MRSM itu apabila mereka telah pun siapkan kelengkapan anak-anak di sekolah menengah biasa.

“Keluarga biasanya tidak mempunyai peruntukan lain untuk membuat persiapan sekali lagi apabila anak mereka diterima masuk MRSM,” katanya.

Pada 2016, Mara dilaporkan telah melonggarkan syarat minimum bagi kema­sukan tingkatan satu ke MRSM dengan mengutamakan pelajar cemerlang miskin bandar dan luar bandar serta pribumi Sabah dan Sarawak.

Kelonggaran itu adalah melibatkan syarat minimum keputusan 3A 3B bagi calon Semenanjung Malaysia dan minimum 3A 2B dan 1C bagi calon Sabah dan Sarawak.