Pengarah Syarikat SMA Global Maju, Sheikh Dawood Tajudeen berkata, semua syarikat terbabit telah e-mail daripada vendor yang menguruskan pendaftaran tersebut dua hari sebelum program tersebut tamat dan meminta mereka ke Jabatan Imigresen di sini. 

“Malangnya selepas tiba di Jabatan Imigresen, permohonan kami telah ditolak kerana pihak vendor tidak menghantar dokumen yang dikehendaki oleh Jabatan Imigresen. 

“Kami menafikan tuduhan yang mengatakan kami telah lewat tetapi sebenarnya kami telah melakukan pendaftaran bagi program ini sejak tahun 2016 lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Sheikh Dawood menjelaskan, walaupun pihaknya berhadapan dengan pelbagai masalah kerana proses pendaftaran yang rumit kerana perlu berurusan dengan pihak kedutaan pekerja masing-masing namun segala urusan tersebut berjaya diselesaikan. 

“Tetapi masalah timbul apabila pihak vendor pula yang lambat untuk menguruskan pendaftaran malah hendak membuat pembayaran pun kami terpaksa menunggu lama,” jelas beliau yang menjalankan perniagaan pasar raya.

Tegas beliau, usaha untuk menghubungi pihak vendor juga tidak berhasil kerana kakitangan yang bertugas  menjawab panggilan telefon tidak dan  membalas email. 

Dalam pada itu, Pengarah Syarikat Uppal Security, Kirpal Singh Chana Singh berkata, terdapat banyak syarikat memberitahu mereka terpaksa menutup operasi kerana bimbang tindakan tegas diambil terhadap mereka yang kebanyakannya menjalankan perniagaan perkhidmatan. 

“Kami bukan meminta supaya program ini dilanjutkan tetapi kami meminta supaya KDN dan Jabatan Imigresen mempertimbangkan tentang nasib kami berpunca daripada kegagalan pihak vendor,”. Kata beliau. 

Kirpal Singh menjelaskan, pihaknya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berhubung kejadian yang menimpa mereka pada 29 dan 30 Mei lalu. 

Pada 1 Julai lalu, Jabatan Imigresen memulakan operasi khas menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas Program Program Rehiring yang tamat jam 12 malam pada 31 Mei lalu. 

Program Rehiring adalah susulan tempoh sah laku program E-Kad yang bertujuan membolehkan Pati dan majikan mendapatkan dokumen perjalanan atau pasport di kedutaan bagi tujuan Rehiring, tamat pada 15 Februari lalu.

Seramai 744,942 PATI telah mendaftar Rehiring dan 83,919 adalah majikan. - K! ONLINE