Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Abu Bakar Yahya berkata, tindakan bekas pegawai Jasa berkenaan adalah sebagai tanda sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Pada hari ini, kita telah menerima lebih 60 borang keahlian daripada bekas pegawai Jasa Selangor. Kami terbuka untuk menerima sesiapa sahaja untuk menyertai Bersatu. 

"Kami (Bersatu) tidak putus-putus menerima keahlian baharu pada setiap masa. Selepas ini, saya akan ke Johor, Perlis dan Kelantan bagi memenuhi jemputan untuk menerima penyerahan borang keahlian baharu.

"Saya akan menerima sesiapa sahaja yang ingin menjadi ahli, bagaimanapun untuk keputusan pengesahan keanggotaan perlu dibawa ke mesyuarat terlebih dahulu untuk dipertimbang sebelum pendaftaran mereka diluluskan,"katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri menjelaskan, sasaran pihaknya adalah untuk menambah kira-kira 500,000 ahli baharu pada tahun ini.

"Kita amat mengalu-alukan penyertaan ahli baharu, mungkin sebelum ini ada yang nak masuk tetapi tidak tahu mana nak hantar borang.

"Saya sendiri akan menerima borang mereka itu dan akan menyenaraikan semua nama mereka sebelum diserahkan kepada pimpinan tertinggi untuk diluluskan," katanya. - K! ONLINE