Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din, sehingga masa kini, terdapat kira-kira 200 bekas pegawai dan anggota bersara PDRM yang menetap di sekitar daerah tersebut.

“Tahun ini adalah tahun ketiga penganjurannya dan kita mahukan hubungan silaraturahim antara pesara polis dan anggota sedia ada lebih rapat selain sebagai cara untuk menzahirkan penghargaan terhadap semua pesara polis yang banyak berjasa kepada masyarakat.

“Anggota baharu boleh mendapatkan tunjuk ajar daripada pesara polis dalam sebarang tugas kepolisan kerana pengalaman mereka yang sangat lama,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini hari ini.

Antara veteran dalam PDRM yang hadir adalah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Samshuri Arshad dan bekas Pengarah Pengurusan, Datuk Robiah Abdul Ghani.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor dalam ucapannya berkata, rakyat negara ini sepatutnya berasa lebih bersyukur kerana berada dalam suasana yang aman dan harmoni.

“Keamanan yang dikecapi negara ini sangat dicemburui negara luar walaupun rakyat Malaysia sendiri terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

“Dalam tugas baharu saya di Selatan Thailand, saya berkesempatan berjumpa dengan pihak terlibat serta puak pejuang yang membuat angkara di sana dan melarikan diri ke Malaysia untuk mendapatkan perlindungan. Mereka sangat kagum dengan keamanan di sini dan keadaan ini (keamanan) telah menimbulkan keinsafan kepada mereka,” ujarnya.

Beliau sebelum ini memainkan peranan sebagai fasilitator yang mewakili Malaysia dalam rundingan damai bagi menamatkan keganasan di Selatan Thailand. - K! ONLINE