Komander ESSCom, Deputi Komisioner Datuk Hazani Ghazali berkata, sepasukan anggota yang menjalankan rondaan pada 8.15 pagi terserempak sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dilihat mencurigakan di kawasan kedai pangkalan di jalan Merotai Kalabakan, kira-kira 90 kilometer dari Tawau.

"Semasa pemeriksaan, didapati tiga lelaki dan tiga wanita berumur antara 16 hingga 26 tahun yang berada di dalam kenderaan itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Siasatan awal mendapati kesemua mereka adalah pekerja buruh ladang di Batu 8, Jalan Kalabakan-Sapulut," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Hazani berkata, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 34 (5) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan (ATIPSOM) 2007.

Sementara itu, beliau mengalu-alukan orang ramai bagi menyalur sebarang maklumat berkaitan untuk tindakan lebih berkesan kepada Pusat Operasi ESSCOM pada talian 089-863181 atau menghubungi balai polis berhampiran. - Bernama