Ketua Bahagian, Bahagian Teknologi (amp) Standard, Sektor Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr. Ahmad Nasruddin 'Atiqullah Fakhrullah berkata, biarpun teknologi 5G masih di peringkat pengenalan di negara ini, namun ia seharusnya dilihat sebagai peluang untuk semua pihak memajukan diri, kerjaya, mahupun perniagaan.

"Contohnya dalam bidang pertanian, kita boleh lihat bagaimana teknologi dan 'Internet of Things' (IoT) dapat meningkatkan produktiviti. Ada dron yang boleh digunakan menyembur baja dan ini dapat mengurangkan kos Penyelenggaraan serta sumber manusia.

"Dengan menggunakan teknologi, para petani boleh pertingkatkan diri dan seterusnya memberikan kesan-kesan yang baik pada pengeluaran mereka," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Nine11 terbitan Bernama News Channel di Wisma Bernama, hari ini.

Ahmad Nasruddin berkata, terdapat tiga ciri penting yang ditawarkan teknologi 5G iaitu kelajuan data tinggi, tindak balas pantas dan 'massive machine-type communication' yang boleh menyambungkan satu juta peranti dalam kawasan seluas satu kilometer persegi. - Bernama