Operasi yang dijalankan bermula pukul 6 pagi hingga 11 malam itu bertujuan menangani masalah penyalahgunaan dadah dan mengurangkan kadar jenayah.

Pengarah AADK Perak, Khairul Anuar Ahmad berkata, operasi tersebut yang mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dijalankan di sekitar Sitiawan, Lekir dan Pantai Remis.

"Semua yang ditahan berusia antara 17 hingga 53 tahun. Hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Opiat dan Methamphetamine.

"Ketika serbuan dijalankan terdapat beberapa individu cuba melanggar anggota yang berada di pelabuhan dan cuba melarikan diri namun mereka semua berjaya ditahan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat AADK Manjung di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Penguatkuasa AADK negeri Perak, Azman Hashim dan Ketua Pegawai AADK Manjung, Sharuddin Abdul Salam.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralatan untuk menghisap dadah dan tiga bungkusan berisi 1.5 liter air ketum bersama ubat batuk.

“Semua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) dan Subseksyen 6(2) akta sama.

“AADK akan meneruskan operasi pencegahan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Anuar berkata, dari Januari hingga Jun 2019 sebanyak 295 operasi AADK dan 135 Ops Bersepadu dijalankan di Perak. - K! ONLINE