Tiga kampung terlibat adalah Kampung Padang Regent dan Kampung Berapit, Tikam Batu serta Kampung Sungai Bongkok, Gurun.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir kilat itu kira-kira pukul 9 pagi ini.

"Kawasan yang terjejas adalah Kampung Padang Regent melibatkan 24 mangsa daripada lima keluarga, Kampung Berapit 15 mangsa daripada empat keluarga dan Kampung Sungai Bongkok 16 mangsa daripada enam keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, rumah penduduk mula dinaiki air kira-kira pukul 5 pagi ini selepas berlaku hujan lebat berterusan mulai pukul 2 pagi ini.

"Banjir bagaimanapun surut sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari tadi dan tiada pusat pemindahan yang dibuka setakat ini," ujarnya.

Menurutnya, pemantauan yang dilakukan mendapati tiada kerosakan teruk melibatkan harta benda selain tiada kecederaan dilaporkan.

"Punca banjir kilat adalah disebabkan hujan lebat  berterusan dan sistem perparitan yang kurang sempurna di samping tidak mampu menampung jumlah air yang mengalir dari pelbagai arah," katanya.

Tambahnya, semua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam keadaan berjaga-jaga kerana masih berlaku hujan sehingga petang ini. - K! ONLINE