Serbuan yang bermula pukul 4 petang semalam itu tertumpu di tiga lokasi berbeza iaitu sekitar daerah ini, Pelabuhan Klang dan Bandar Saujana Putra.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, hasil serbuan selama 10 jam itu berjaya menahan 52 orang PATI berusia lingkungan 22 hingga 55 tahun terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Nepal, Pakistan, India dan Filipina.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam dan hasil risikan sejak beberapa minggu lagi berkenaan kebanjiran warga asing bekerja di kawasan berkenaan.

"Serbuan pertama di sebuah gudang jualan pakaian terpakai di Pelabuhan Klang berjaya menahan 42 orang daripada 200 pekerja dan pelanggan yang diperiksa.

"Lokasi kedua dan ketiga tertumpu di restoran sekitar Bandar Saujana Putra dan rumah kedai di Shah Alam dengan menahan 10 PAT " katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Shukri menambah, ketika serbuan dilakukan ada sebahagian PATI cuba meloloskan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa namun gagal selepas kawasan tersebut dikepung pihaknya.

Ujar beliau, kesemua 52 orang PATI yang terdiri daripada 36 lelaki dan 16 wanita itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Selangor dan akan direman selama 14 hari di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.
   
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas/permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tamat tempoh pas. - K! ONLINE