Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Mohd. Zakaria Ahmad berkata, kebanyakan individu yang ditahan terdiri daripada penganggur dan suri rumah.

“Sebahagiannya adalah  golongan muda yang tidak bekerja selain suri rumah yang mahu mendapatkan wang dengan cara mudah.

“Berdasarkan soal siasat yang dijalankan, keldai akaun terbabit didapati menjual akaun mereka kepada sindiket pada harga serendah RM300,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Seminar Trend Terkini Jenayah Komersial di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohd. Zakaria berkata, melihat kepada masalah itu, pihak bank dinasihatkan untuk mengetatkan syarat terhadap pemilik akaun yang didapati menyalahgunakan akaun mereka.

“Tindakan itu penting untuk memastikan pemilik akaun bertanggungjawab terhadap akaun yang dibuka bagi mengelakkan ia digunakan oleh pihak lain terutama untuk kegiatan jenayah.

“Individu yang didapati menjual akaun mereka kepada pihak lain boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” katanya. - K! ONLINE