Menurut kenyataan Puspakom hari ini, berdasarkan statistik syarikat itu, paling tinggi tidak mencapai tahap piawaian ialah brek sebanyak 35 peratus diikuti gelincir sisi 30 peratus dan pelepasan asap sebanyak 10 peratus.

" Ini amat membimbangkan kerana komponen utama kenderaan seperti brek yang tidak berfungsi dengan baik dan keputusan gelincir sisi yang tidak memuaskan terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya manakala pelepasan asap yang tidak mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar pula akan menyebabkan pencemaran udara," katanya.

Sehubungan itu, sempena sambutan Aidilfitri 2019, Puspakom menganjurkan kempen Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela percuma kepada orang ramai selama 10 hari bermula semalam hingga 2 Jun di semua 54 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Puspakom di seluruh negara kecuali Shah Alam dan Pasir Gudang, yang dikhaskan untuk kenderaan berat sahaja.

Kempen ini akan memberi peluang kepada pemilik kenderaan untuk mengambil kesempatan mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan secara percuma memandangkan kadar bayaran sebenar bagi pemeriksaan itu ialah RM50. - Bernama