Keputusan itu dicapai menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Pengembangan Pendidikan (LPP), Provinsi Nusa Tenggara Barat (NTB), Indonesia.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Malaysia Pendidikan Tinggi (PPM(PT) 2015 hingga 2025 untuk mencapai sasaran 250,000 orang pelajar antarabangsa pada tahun 2025.

Menurutnya, MoU itu bagi mengukuhkan dan mengeratkan hubungan bilateral daripada aspek pendidikan antara Malaysia dan Indonesia.

"MoU ini menyediakan peluang untuk pelajar berpotensi dalam kalangan rakyat NTB melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi di Malaysia. 

"MoU ini merupakan inisiatif daripada Majlis Dekan Pengajian Siswazah (MDPS) Universiti yang telah mengadakan lawatan awal ke Lombok untuk memahami dengan mendalam berkaitan projek ini," katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, KPM berkata, MDPS telah merangka satu pakej yang kompetitif khas buat pelajar NTB yang berminat ke negara ini.

"Selain itu, Majlis Peperiksaan Malaysia juga turut memainkan peranan dalam mengendalikan Malaysia University English Test (MUET) di Indonesia bagi kejayaan projek NTB ini," katanya.

Antara IPT yang terlibat ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Selain itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) 
Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) turut terlibat.

Universiti lain adalah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Kuala
Lumpur (UniKL). - K! ONLINE