Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohd. Jusoh berkata, kegagalan itu melibatkan sebanyak 1,368 premis daripada 2,838 premis makanan terbabit yang diperiksa di seluruh negeri ini sehingga kelmarin.

"Kesemua premis makanan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok terbabit telah diberikan notis amaran. Daerah Kuala Terengganu mencatatkan pengeluaran notis amaran tertinggi kepada pengusaha premis makanan tersebut iaitu 269.

"Ia diikuti Hulu Terengganu (254), Besut (203), Kemaman (201), Kuala Nerus (182), Setiu (104), Dungun (89) dan Marang (66)," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan di Medan Selera Kuala Terengganu Walk di sini hari ini.

Mohd. berkata, setiap pengusaha premis makanan mempunyai tanggungjawab untuk memasang tanda larangan merokok mengikut spesifikasi betul iaitu berukuran 50 sentimeter (cm) x 40 cm di lokasi yang mudah dilihat pelanggan. - K! ONLINE