Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, arahan yang dikuat kuasa bermula tahun ini itu dibuat selaras dengan pengumuman kerajaan tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

Beliau berkata, sebagai institusi yang menyediakan pembiayaan mikro dan perkhidmatan sokongan pembangunan usahawan, Tekun perlu terkedepan dan menjadi tonggak bagi memperkasa wanita dalam soal keupayaan ekonomi dan kewangan.

"Orang mungkin melihat pemerkasaan wanita hanya dalam aspek tuntutan penglibatan 30 peratus golongan itu dalam membuat dasar tetapi bagi kementerian ini, skop itu perlu dilihat dalam konteks lebih luas.

"Memperkasa wanita juga membawa maksud membangunkan kebebasan kewangan dan ekonomi kaum itu sekali gus mengeluarkan mereka daripada situasi hanya bergantung kepada orang lain dan ini peranan yang boleh dimainkan kementerian melalui Tekun," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan aplikasi mudah alih ‘Tekun Pay’ di sini hari ini. - Bernama