Presiden Masti, Azri Hodad berkata, Projek Antarabangsa: Kesukarelaan dan Tanggungjawab Sosial Korporat (iVCORE) di Thailand itu menyasarkan sumbangan kewangan dan pembinaan sekolah serta masjid.

"Selain itu, kami akan melaksanakan aktiviti sukan serta motivasi bersama anak-anak yatim di Sekolah Santiwit.

"Golongan asnaf turut dibantu dengan bantuan kewangan sebanyak RM10,000 oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Masti telah melaksanakan program bantuan kemanusiaan, aktiviti kemasyarakatan dan ceramah motivasi di Sabah dan Terengganu.

Daerah Chana yang terletak di wilayah Pattani, selatan Thailand mempunyai kira-kira 104,000 penduduk yang majoritinya bekerja sebagai nelayan selain terlibat dalam sektor pertanian.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan program itu di Kampus Tetap, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra, Arau dekat sini semalam. - K! ONLINE