Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Seri Ramli Yusuff berkata, pelaksanaan itu juga bakal menyebabkan 800 syarikat keselamatan gulung tikar di samping menanggung kerugian sehingga RM1.5 juta. 

Beliau berkata, ketika ini perkhidmatan dijalankan melalui tender terbuka tetapi ekoran kekurangan bajet daripada Kementerian Kewangan, maka kerajaan bercadang untuk melaksanakan secara kontrak.

“Bagaimanapun sekiranya CFS dilaksanakan, ia akan memberi kesan kepada periuk nasi 50,000 kakitangan kawalan keselamatan kerana premis kerajaan tersebut akan memilih individu tertentu untuk berkhidmat, bukan lagi melalui syarikat swasta yang mempunyai latihan dan pengiktirafan tertentu,” katanya pada sidang akhbar di pejabat PIKM di sini hari ini.

Turut hadir sama ialah timbalan presiden, Kapten (R) Najmuddin Mohd. Ibrahim; naib presiden satu, Jeneral Datuk Mohd. Yunus Long; naib presiden dua, Saliza Abdullah; naib presiden tiga, Mohammad Ubaidillah Enam dan setiausaha, Ku Norazmi Asmawi.

Ramli memberitahu, pihaknya telah mengutus surat rasmi kepada pihak Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam pada 12 Julai lalu untuk mendapatkan kepastian berhubung pelaksanaan CFS namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.

“Jika CFS benar-benar dilaksanakan ia bakal mengundang implikasi yang amat besar termasuklah melumpuhkan industri syarikat kawalan keselamatan.

“Kami berharap agar maklumat yang pihak kami terima mengenai ura-ura kerajaan mahu melaksanakan CFS tidak akan berlaku dan kami mahu ia dibatalkan.

“Bayangkan syarikat kawalan keselamatan yang secara puratanya berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan 99 peratus adalah milikan Bumiputera akan lumpuh dan kebanyakan kakitangan pula adalah dalam kalangan B40 akan hilang pekerjaan,” jelasnya. - K! ONLINE