Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Azman Abu Bakar berkata, konsep itu dibangunkan di peringkat klinik kesihatan sebagai akses dan meningkatkan penerimaan rakyat kepada perkhidmatan kesihatan primer.

"Sehingga kini terdapat 110 klinik kesihatan seluruh negara mengamalkan FDC termasuk di Sabah iaitu Klinik Kesihatan Lahad Datu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan FDC klinik kesihatan Tawau di sini hari ini.

Dr. Azman berkata, melalui konsep FDC itu membolehkan individu dan isu rumah mendapatkan rawatan berterusan dari satu orang doktor keluarga dan doktor itu juga bertanggungjawab ke atas status kesihatan  populasi di bawah jagaannya.

"Hal ini menjadikan perkhidmatan diberikan lebih berkualiti serta dapat mendidik pesakit kepada perkhidmatan lebih bersistem dengan kaedah temu janji sekali gus mengurangkan masa menunggu di klinik.

"Perkhidmatan diberikan termasuklah pemeriksaan kesihatan melalui saringan kesihatan, pengurusan kes pesakit luar dan penyakit kronik (seperti darah tinggi, kencing manis), pengurusan ibu mengandung, serta kesihatan kanak-kanak dan vaksinasi," katanya. - Bernama