Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh berkata, Kuala Terengganu merupakan daerah tertinggi merekodkan kes demam denggi dengan 203 kes diikuti Marang (65), Kuala Nerus (43), Dungun (40), Kemaman (27), Hulu Terengganu (25), Besut (21) dan Setiu (sembilan).

"Semua daerah menunjukkan peningkatan kes kecuali daerah Besut yang menunjukkan penurunan ketara iaitu hanya 21 berbanding 108 kes bagi tempoh sama tahun lepas," katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi mengurangkan penularan serta mengelak peningkatan demam denggi, beliau berkata, orang ramai digesa agar menjaga kebersihan di sekitar kawasan perumahan masing-masing dan membuat aktiviti cari dan musnah pembiakan aedes sekurang-kurangnya selama 10 minit seminggu.

Selain itu, beliau menasihatkan individu yang ingin melakukan aktiviti luar semasa waktu puncak gigitan Aedes dari 5 pagi hingga 8 pagi dan 5 petang hingga 8 malam, supaya memakai pakaian cerah dan berlengan panjang serta menggunakan bahan pencegah nyamuk. - Bernama